Bengkel Formulasi Produk Kosmetik dan Penjagaan Diri Berasaskan Minyak Kelapa Dara

Bio Tajmeel Cosmeceutical Sdn Bhd dengan kerjasama Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar telah mengadakan sebuah Bengkel Formulasi Produk Berasaskan Minyak Kelapa Dara (VCO) pada 17 Ogos 2022 yang lalu.

Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai ilmu dan teknik penghasilan produk kecantikan dan penjagaan diri yang berasaskan bahan semulajadi, selamat dan boleh dilakukan secara kecil-kecilan dari rumah. Hal ini sekaligus, dapat menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan dan menjana pendapatan dengan memanfaatkan segala sumber alam semulajadi yang ada contohnya Minyak Kelapa Dara.

Bengkel ini telah dijalankan di Bilik Mesyuarat 1, Bangunan FAMA, RTC Tunjong yang dihadiri oleh 41 orang peserta dan melibatkan 3 orang Saintis Bio Tajmeel. Perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh YB Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau & Alam Sekitar Negeri Kelantan.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah Demonstrasi Penghasilan Minyak Kelapa Dara (VCO), Minyak Aromaterapi, Pembuatan Sabun Badan, Sabun Muka, Balm dan Lip Balm yang berasaskan Minyak Kelapa Dara serta aktiviti cabutan bertuah. Para peserta turut didedahkan dengan penerangan kilang kosmetik halal dan berstatus GMP milik syarikat Bio Tajmeel selaku pengeluar produk kosmetik dan penjagaan diri di negeri Kelantan serta penerangan mengenai peluang bina kerjaya bersama Nutrifera sebagai pendedahan awal dunia bisnes sebelum peserta benar-benar menceburi bidang keusahawanan.

 

Bengkel ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada para peserta sehingga ada yang telah berjaya menjual Minyak Kelapa Dara Asli secara kecil-kecilan setelah mengikuti bengkel ini. Diharapkan agar bengkel sebegini dapat diteruskan lagi bagi membuka peluang perniagaan kepada rakyat Kelantan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart